Silikosis: Bahaya Debu Halus di Tempat Kerja yang Mungkin Anda Tak Sedari

Sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2025 lalu, program Diari Rawat RTM mengupas isu penting Silikosis – penyakit paru-paru serius akibat kerja. Menampilkan Dr. Shazatul Syakirin (Pakar Respiratori KKM) dan Profesor Dr. Victor Hoe (Pakar Kesihatan Pekerjaan UM), sesi ini membincangkan bahaya habuk silika dan cabaran penyakit kronik yang sering diabaikan dan tiada ubat ini.

Perkongsian penting ini membuka mata tentang ancaman kepada pekerja. Ini antara perkara utama yang dibincangkan:

Apa itu Silikosis?

Silikosis disebabkan oleh penyedutan debu silika halus. Silika secara semula jadi terdapat dalam jenis batu-batuan, pasir, dan tanah liat tertentu. Aktiviti bekerja dengan bahan ini boleh menghasilkan habuk halus yang mudah disedut.

Industri berisiko tinggi untuk mendapat silikosis termasuk pembinaan, perlombongan, kuari, peleburan, dan kerja-kerja berkaitan batu pasir dan simen. Debu silika yang dihidu merangsang keradangan dan menyebabkan pembentukan parut (fibrosis) pada tisu paru-paru, menjadikannya keras dan tidak berfungsi dengan baik. Debu silika yang ‘fresh’ (baru diproses, contohnya dari memotong batu tiruan) dikatakan lebih berbahaya kerana ada caj yang mudah melekat dalam paru-paru.

Jenis dan Gejala Silikosis

Silikosis boleh berlaku sebagai ‘acute silikosis’ (gejala muncul dalam mingguan dari pendedahan tinggi) atau ‘chronic/progressive massive fibrosis’ (gejala muncul perlahan, lebih 10 tahun pendedahan, atau selepas 30 tahun berhenti bekerja).

Gejala silikosis secara amnya termasuk:

  • Kesukaran bernafas (sesak nafas)
  • Batuk berpanjangan
  • Sakit dada
  • Cepat letih

Cabarannya, gejala ini sering muncul lewat, bertahun-tahun selepas pendedahan. Ini menyukarkan diagnosis kerana pesakit mungkin lupa sejarah pekerjaan mereka.

Diagnosis dan Cabaran

Diagnosis silikosis melibatkan siasatan, termasuk imbasan X-ray yang selalunya menunjukkan tompok putih di bahagian atas paru-paru, kadang-kadang dengan kalsium. Rupa X-ray ini boleh disalah anggap sebagai penyakit lain seperti tuberkulosis (TB).

Sejarah pekerjaan pesakit adalah sangat penting untuk diagnosis tepat. Kurangnya kesedaran di kalangan pesakit dan perawat, serta sistem pemantauan perubatan (medical surveillance) yang mungkin tidak cukup kuat, menyumbang kepada kadar diagnosis yang rendah di Malaysia. Silikosis juga meningkatkan risiko mendapat TB dan kanser paru-paru, terutamanya jika individu itu merokok.

Rawatan: Silikosis Tiada Penawar

Penting untuk diketahui, silikosis pada masa ini tiada ubat untuk menyembuhkan sepenuhnya. Rawatan lebih tertumpu kepada menguruskan gejala, memperlahankan perkembangan penyakit, dan meningkatkan kualiti hidup.

Ini termasuk:

  • Ubat bronkodilator untuk buka saluran pernafasan.
  • Steroid untuk kurangkan keradangan (perlu pemantauan doktor kerana kesan sampingan jangka panjang).
  • Antibiotik jika ada jangkitan sekunder seperti pneumonia.
  • Terapi oksigen jika tahap oksigen rendah.
  • Program rehabilitasi paru-paru untuk bantu pesakit bernafas lebih cekap.

Prosedur ‘whole lung lavage’ boleh membantu dalam kes acute silikosis tetapi bukan penyembuh dan terhad kepada kes genting. Pemindahan paru-paru adalah pilihan jangka masa panjang dalam kes tertentu, tetapi rawatannya sangat terhad dan sukar didapati.

Pencegahan adalah Kunci Utama!

Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat dan merupakan kunci utama!. Bagi pekerja di kawasan berisiko, langkah pencegahan merangkumi:

  • Menggunakan Alat Perlindungan Diri (PPE) yang sesuai seperti pelindung pernafasan di tempat kerja.
  • Memastikan pengudaraan tempat kerja yang baik.
  • Memantau tahap debu silika di udara.
  • Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, termasuk X-ray tahunan, seperti yang diwajibkan oleh undang-undang (Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994).

Tahu Hak Anda Sebagai Pekerja

Pekerja juga perlu sedar akan hak mereka. Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), majikan bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang selamat, peralatan keselamatan, pengudaraan, serta latihan berkaitan pendedahan bahan berbahaya.

Pekerja mempunyai peranan dan berhak memberitahu majikan jika kawasan kerja berhabuk dan berbincang langkah keselamatan. Jika mengalami gejala mencurigakan, segera dapatkan pemeriksaan kesihatan dan penting untuk memberitahu doktor mengenai sejarah pekerjaan anda!.

Jika didiagnos dengan silikosis berkaitan pekerjaan, pekerja berhak mendapat pampasan daripada PERKESO (SOCSO). Namun, ini hanya boleh berlaku jika punca penyakit itu dikaitkan dengan pekerjaan.

Silikosis adalah penyakit serius yang tidak boleh disembuhkan, tetapi ia boleh dicegah. Kesedaran tinggi dari pekerja dan majikan, serta pematuhan peraturan keselamatan, adalah benteng utama melindungi golongan pekerja di Malaysia. Jangan ambil mudah, kesihatan anda penting untuk kelangsungan hidup dan produktiviti jangka panjang.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *