Pelancaran Laman Sesawang Baharu – Masyarakat Sihat (massihat.com)

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Sukacita dimaklumkan, kami amat berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran laman sesawang baharu kami massihat.com yang ingin dijadikan sebagai medium pendidikan dan penyampaian maklumat kesihatan awam yang dapat meningkatkan kesedaran, menambah ilmu pengetahuan, menggalakkan perkongsian pendapat, dan membangunkan pemikiran kritikal para pembaca.

Sebagai salah satu universiti terkemuka dan perintis utama dalam bidang Kesihatan Awam, laman sesawang ini diilhamkan oleh Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Profesor Dr Victor Hoe Chee Wai Bin Abdullah, dengan kerjasama serta sokongan penuh warga kerja dan pelajar di jabatan ini. Laman ini juga dibangunkan dan diselia oleh Unit Pendidikan Jarak Jauh, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Laman ini didatangkan dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama bertujuan untuk meluaskan lagi sebaran dan capaian maklumat kesihatan awam kepada para pembaca tempatan selain ingin terus komited memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Pelbagai aspek kesihatan awam yang kami bawakan kepada para pembaca laman sesawang ini antaranya Komuniti dan Masyarakat, Kesihatan Mental, Kesihatan Keluarga, Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Polisi dan Pengurusan Kesihatan, dan Diet dan Pemakanan.

Kami akan terus komited menyampaikan maklumat kesihatan awam yang tepat dan terkini kepada para pembaca, dan juga akan terus memperbaiki serta memperbaharui ciri-ciri penggunaan dan susun atur kandungan yang terdapat di dalam laman sesawang ini.