Kesihatan Mental: Kunci Kehidupan Sejahtera

Kesihatan adalah Kekayaan (Health is Wealth) – ungkapan ini bukan sekadar kata-kata, tetapi hakikat kehidupan manusia yang perlu kita hayati. Dalam usaha kita untuk mencapai masyarakat yang sihat dan sejahtera, kita sering memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal semata-mata. Kesihatan mental juga memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup. Namun, sering kali ia diabaikan atau dipandang remeh.

Apa itu Kesihatan Mental?

Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi, dan sosial kita. Ia mempengaruhi cara kita berfikir, merasa, dan bertindak. Kesihatan mental yang baik membantu kita mengatasi tekanan, berinteraksi dengan orang lain, dan membuat keputusan yang rasional dan beretika. Individu yang memiliki kesihatan mental yang baik dapat berfungsi secara optimum dalam kehidupan peribadi, sosial dan profesional.

Mengapa Kesihatan Mental Penting?

Bayangkan diri manusia seperti sepohon pokok. Kesihatan mental adalah akar tunjang yang menyokong diri dan kehidupan kita. Tanpa akar yang kuat, pokok tidak dapat tumbuh dengan subur. Begitu juga dengan kita, tanpa asas kesihatan mental yang baik, kita tidak dapat menjalani kehidupan seharian dengan sejahtera.
Masalah seperti kemurungan, kebimbangan, dan stres kronik bukan sahaja menjejaskan seseorang individu, tetapi turut memberi kesan kepada keluarga, tempat kerja, dan masyarakat secara menyeluruh.

Statistik Kesihatan Mental di Malaysia

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, 4.6% daripada orang dewasa di Malaysia mengalami kemurungan. Ini bermakna kira-kira satu juta individu berumur 15 tahun ke atas sedang berdepan dengan masalah ini. Lebih membimbangkan, prevalensi masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak meningkat daripada 7.9% pada tahun 2019 kepada 16.5% pada tahun 2023. Ini menunjukkan bahawa satu daripada enam kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, suatu situasi yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Tanda-tanda Kesihatan Mental yang Terganggu

Perubahan dalam corak tidur, selera makan, atau tahap tenaga; perasaan sedih atau kebimbangan yang berpanjangan; serta kehilangan minat terhadap aktiviti yang dahulunya menyeronokkan — semua ini boleh menjadi petunjuk bahawa seseorang sedang mengalami gangguan kesihatan mental. Pengesanan awal boleh membantu dalam mendapatkan sokongan yang diperlukan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Langkah-langkah Menjaga Kesihatan Mental

  1. Berbincang
    Jangan takut untuk berkongsi perasaan anda dengan orang yang dipercayai seperti keluarga, rakan, atau profesional kesihatan boleh membantu mengurangkan beban emosi.
  2. Aktiviti Fizikal
    Senaman bukan sahaja baik untuk tubuh, tetapi juga untuk minda. Secara saintifiknya, aktiviti fizikal membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan emosi yang positif.
  3. Pemakanan Sihat
    Makan makanan yang seimbang dan berkhasiat boleh memberi kesan positif kepada kesihatan mental anda.
  4. Rehat yang cukup
    Tidur yang mencukupi adalah penting untuk kesejahteraan mental. Pastikan anda mendapat rehat yang cukup setiap malam.
  5. Aktiviti Relaksasi
    Luangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang yang anda gemari seperti membaca, mendengar muzik, berjalan-jalan di taman, dan sebagainya.

Kesimpulan

Kesihatan mental adalah asas kepada kehidupan individu, keluarga dan masyarakat yang sejahtera. Bersama kita dalam memupuk kesedaran, menghapuskan tanggapan negatif atau stigma, dan menberikan sokongan yang sewajarnya, kita dapat membina persekitaran yang lebih prihatin dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat.

Menjaga kesihatan mental bukan suatu pilihan, tetapi satu keperluan. Kesihatan mental yang baik bukan sahaja membentuk individu yang lebih produktif, tetapi juga menyumbang kepada masyarakat dan negara yang lebih makmur. Ingatlah, kesihatan adalah kekayaan (Health is Wealth). Jaga kesihatan mental kita, kerana kita berhak untuk hidup sejahtera.

Pelihara kesihatan mental demi diri kita dan masa depan bersama.

Rujukan: Institut Kesihatan Umum 2024. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan – Penemuan Utama.

Artikel ini ditulis oleh Profesor Madya Dr Farizah Mohd Hairi dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *