
Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, dan obesiti terus mencatatkan peningkatan di Malaysia. Golongan petugas kesihatan, walaupun memainkan peranan utama dalam memberikan rawatan dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat, juga tidak terkecuali daripada risiko ini. Gaya hidup sedentari yang disebabkan oleh beban kerja yang tinggi dan waktu kerja yang panjang sering kali menghadkan peluang mereka untuk melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.
X-Break: Solusi Aktiviti Fizikal yang Praktikal
Sebagai respon terhadap cabaran ini, inisiatif senaman X-Break telah diperkenalkan kepada petugas kesihatan sebagai sebahagian daripada program intervensi kesihatan di tempat kerja. Kit senaman X-Break dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan direka khas untuk dilaksanakan dalam masa singkat, iaitu selama 3 hingga 5 minit, selepas tempoh duduk selama 30 hingga 60 minit.
Senaman ini merangkumi gerakan mudah seperti regangan leher dan bahu, pergerakan lengan, squat ringan, dan berjalan setempat yang boleh dilakukan tanpa peralatan khas. Ia bertujuan untuk meningkatkan aliran darah, mengurangkan ketegangan otot, menstabilkan kadar denyutan jantung, dan memperbaharui tumpuan semasa bekerja.
Manfaat Jangka Pendek dan Panjang
Bagi petugas kesihatan yang banyak berdiri atau duduk sepanjang hari, seperti jururawat, doktor dan pembantu perubatan, X-Break mampu mengurangkan keletihan fizikal, mengurangkan tekanan kerja serta meningkatkan daya tumpuan dan mood. Dalam jangka panjang, pelaksanaan berkala senaman ini dapat menyumbang kepada pengurangan risiko NCD melalui pengawalan berat badan, keseimbangan hormon dan pembakaran kalori.
Senaman X-Break juga berpotensi meningkatkan semangat berpasukan apabila dilakukan secara berkumpulan, serta menyokong pembangunan budaya kerja yang sihat dan sejahtera – selari dengan pendekatan kesejahteraan pekerja yang holistik merangkumi kesihatan fizikal, mental dan sosial.
Pelaksanaan di Universiti Malaya
Pada 7 Mei 2025, aktiviti X-Break telah dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya sempena Program Cergas Sepanjang Hayat, sebagai satu intervensi promosi kesihatan yang dikendalikan oleh pelajar Sarjana Kesihatan Awam (Kursus Promosi Kesihatan), Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Program ini bertujuan memperkenalkan amalan aktiviti fizikal ringkas yang sesuai dilaksanakan dalam persekitaran kerja profesional, khususnya dalam kalangan warga kesihatan.




Kesimpulan
Walaupun kesibukan tugasan harian sering menjadi halangan, usaha kecil seperti senaman X-Break jika diamalkan secara konsisten mampu menghasilkan impak besar terhadap kesihatan petugas kesihatan. Pendekatan mudah ini bukan sahaja membantu menjaga kesihatan diri, tetapi juga mencerminkan teladan positif kepada masyarakat.
Maklumat Lanjut
Untuk mengikuti dan menonton senaman X-Break, sila layari: https://infosihat.moh.gov.my/x-break-2.html
Penghargaan:
Program ini merupakan inisiatif pelajar Sarjana Kesihatan Awam dengan sokongan Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.
#AktifDiTempatKerja #KesihatanPekerja #CegahNCD
Artikel ditulis oleh:
Jayanthy A/P Moorthy
Dr Nur Amalina binti Md Amin
Zao Myo Htet
Dr Nurhanis binti Ahmran
Liu Chang Li
Dr Nurul Firdaus binti Salahul Ahamed
Profesor Madya Dr Nik Daliana binti Nik Farid