Usia Senja, Dua Realiti: Warga Emas Desa Ketinggalan

Di sebalik senyuman warga emas, tersimpan seribu cerita tentang pengorbanan, kasih sayang dan perjalanan panjang membina negara. Namun, persoalan yang wajar kita renungkan ialah: adakah mereka benar-benar menikmati usia emas dengan tenang, dihargai, dan penuh makna?

Seorang daripada tiga warga emas di Malaysia percaya bahawa kualiti hidup mereka adalah rendah — sebuah realiti yang membimbangkan bagi negara yang bakal berstatus negara tua menjelang 2030. Malah, Menerusi Kenyataan Media bagi Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri melaporkan bahawa peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.3 peratus dalam tempoh yang sama. Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia kini secara rasmi telah menjadi negara menua.

Kajian terbaharu Universiti Malaya  bertajuk ”Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kualiti Hidup dalam Kalangan Warga Emas di Kawasan Bandar dan Luar Bandar di Malaysia” mendedahkan jurang itu bahkan lebih ketara: warga emas di desa lebih terkesan berbanding mereka yang tinggal di bandar, sekali gus memperlihatkan perbezaan bagaimana rakyat Malaysia melalui fasa penuaan.

Kajian berasaskan tinjauan kesihatan kebangsaan itu mendapati ”warga emas di kawasan luar bandar melaporkan skor kualiti hidup lebih rendah berbanding warga emas seusia di bandar.” Namun, yang lebih mengesankan ialah faktor disebalik perbezaan tersebut. Penduduk bandar berdepan cabaran utama kekurangan ruang selamat dan selesa, serta kemudahan untuk melaksanakan aktiviti fizikal dan bersenam. Sebaliknya, di desa, isu lebih asas menjadi penghalang: “pendapatan rendah, perbezaan budaya antara etnik, masalah penglihatan dan kencing tidak lawas memainkan peranan lebih besar.”

Begitupun, kajian itu menyatakan terdapat masalah yang melangkaui sempadan bandar dan desa. “Kemurungan dan keterbatasan fungsi kekal sebagai ancaman paling konsisten terhadap kualiti hidup, baik di bandar atau di luar bandar,” kata penyelidik, menunjukkan betapa kesihatan mental dan kemerosotan fungsi akibat penuaan memberi kesan tanpa mengira poskod.

Mengapa hal ini penting? Kerana kualiti hidup bukan sekadar keselesaan — ia adalah soal maruah. Ia mencerminkan sama ada warga emas berasa bahagia, puas hati dan dihargai selepas puluhan tahun berbakti kepada keluarga serta masyarakat. Memelihara maruah ini, tegas penyelidik, adalah tanggungjawab bersama. “Bukan hanya terletak di bahu pembuat dasar, tetapi juga keluarga, penjaga, rakan-rakan, jiran tetangga dan warga emas itu sendiri.”

Dapatan kajian ini memberi mesej jelas: pendekatan ‘one-size-fits-all’ tidak sesuai kerana mengabaikan keperluan, konteks, dan kepelbagaian populasi sasaran. Warga emas bandar memerlukan sokongan untuk mengakses kemudahan gaya hidup aktif. Di desa pula, intervensi lebih khusus diperlukan — daripada bantuan kewangan hingga program komuniti yang mengambilkira perbezaan budaya. Seperti yang dinyatakan, “apa yang membentuk kualiti hidup, dan apa yang dihargai, berbeza mengikut di mana warga emas menetap.”

Ini bermakna polisi dan dasar perlu disesuaikan dengan realiti. Di bandar, usaha mengalihkan kekangan untuk ke gimnasium, taman dan aktiviti rekreasi boleh membantu. Di desa, penyelesaian terbaik mungkin berbentuk unit kesihatan bergerak, subsidi untuk golongan miskin atau program peningkatan taraf hidup untuk mengurangkan jurang antara kaum. Tanpa langkah bersasar sebegini, jurang kesejahteraan antara warga emas bandar dan desa akan terus melebar.

Kesejahteraan warga emas tidak boleh dilihat secara terpisah. Program perlu dirangka secara holistik, merangkumi aspek sosial (sokongan komuniti, hubungan keluarga), ekonomi (kestabilan pendapatan, peluang pekerjaan ringan), spiritual (amalan keagamaan, ketenangan jiwa), serta kesihatan fizikal dan mental (aktiviti kecergasan, rawatan penyakit kronik, sokongan psikososial). Semua dimensi ini saling berkait, dan pengabaian mana-mana aspek boleh menjejaskan keseluruhan kualiti hidup

Namun, menunggu polisi dan dasar digubal adalah pembaziran masa. Penyelidik menekankan tindakan dan perubahan harus berpaksikan akar umbi: “Komuniti sendiri boleh memainkan peranan dalam mengubah cara warga emas Malaysia meniti usia tua mereka.” Seruannya jitu — peka terhadap warga emas di sekeliling kita. Kenalpasti warga emas yang sukar membeli barang dapur, yang berasa terasing, atau ibu bapa yang memerlukan dorongan untuk terus aktif. Tindakan kecil yang digandakan di peringkat komuniti boleh merapatkan jurang lebih pantas daripada menunggu penggubalan dasar. Warga emas bukan beban, tetapi warisan hidup yang telah membuka jalan untuk generasi hari ini. Masa depan kesejahteraan mereka bergantung pada sejauh mana kita sanggup memikul tanggungjawab bersama — daripada dasar negara hingga sokongan komuniti. Jika bukan kita yang menjaga warga emas hari ini, siapa lagi?

MAKLUMAT PENULIS

Penulis pertama

Dr Nur Balqis Zahirah Ali
Pegawai Perubatan dan Pelajar Sarjana Kesihatan Awam
Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya
dr.nurbalqis@moh.gov.my

Penulis kedua

Dr Siti Idayu Hasan
Pensyarah Kanan
Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya
idayuhasan@um.edu.my