Langkah Efektif Berhenti Merokok dan Farmakoterapi Berhenti Merokok
Klinik Berhenti Merokok telah ditubuhkan dengan tujuan untuk memberi panduan, bimbingan, dan sokongan kepada perokok-perokok yang ingin berhenti merokok. Di kawasan Lembah Pantai, Klinik Kesihatan Tanglin menawarkan perkhidmatan klinik berhenti merokok pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat setiap minggu.
Kajian menunjukkan bahawa salah satu langkah untuk berhenti merokok dengan bantuan pakar bersama dengan terapi gantian nikotin adalah lebih efektif berbanding dengan kaedah berhenti rokok yang lain.
Objektif khusus Klinik Berhenti Merokok:
- Memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada perokok tentang bahaya dan kesan negatif merokok.
- Menyediakan bimbingan dan kaunseling individu bagi membantu perokok membuat keputusan untuk berhenti merokok.
- Memberi pendidikan kepada perokok untuk menghentikan tabiat merokok secara terancang dan mengekalkan status tidak merokok.
Perkhidmatan yang ditawarkan di Klinik Berhenti Merokok:
- Menyediakan kaunseling individu untuk berhenti merokok.
- Memberikan tips dan panduan untuk berhenti merokok.
- Memberikan terapi gantian nikotin kepada perokok-perokok yang mempunyai ketagihan sederhana dan tinggi.
- Pemeriksaan status kesihatan.
Farmakoterapi: Terapi Gantian Nikotin (NRT)
Terapi Gantian Nikotin atau Nicotine Replacement Therapy (NRT) bertujuan membekalkan sukatan nikotin yang cukup kepada perokok untuk mengurangkan gejala ketagihan tanpa bahan-bahan perosak seperti tar dan karbon monoksida yang terdapat di dalam asap rokok. Nikotin tidak menyebabkan kanser tetapi asap rokok biasa yang disedut boleh menyebabkan kanser kerana asap tersebut mengandungi pelbagai bahan beracun.
Jenis-jenis NRT di pasaran
Produk NRT boleh diperolehi dalam beberapa bentuk dan kekuatan untuk mengikut keperluan dan tahap kerbergantungan terhadap nikotin dalam kalangan perokok Berikut adalah 5 jenis produk NRT yang terdapat di pasaran:
- Gula-gula getah nikotin
- Inhaler nikotin
- Lozenge nikotin
- Semburan hidung nikotin (nasal spray)*Tiada dalam pasaran Malaysia.
- Pelekat nikotin
- Lekatkan pelekat pada kulit yang kering, bersih dan tidak berbulu.
- Ia boleh dilekatkan di mana-mana bahagian antara lengan dan leher (kebiasaanya pada bahagian lengan atau bahu) dan paha.
- Buang pelapik di bahagian belakang pelekat dan lekatkan pada kulit dengan kemas dan rapat.
- Biarkan selama 16 jam atau 24 jam kemudian buang.
- Lekatkan pelekat yang baru pada bahagian kulit yang lain (sekurang-kurangnya 5 hari) sebelum melekatkan semula pelekat ke bahagian kulit yang sama.
- Kunyah 5 hingga 10 kali sehingga rasa pedas (peppery) dan pijar (tingling sensation).
- Selitkan gula-gula getah nikotin ini di antara sebelah dalam pipi dan gusi sehingga rasa pedas dan pijar hilang.
- Kunyah semula dan selitkan gula-gula getah nikotin ini di antara sebelah dalam pipi dan gusi.
- Ulang langkah-langkah ini sehingga semua rasa hilang (lebih kurang 30 minit).
Varenicline ialah sejenis pil untuk pesakit yang ingin berhenti merokok. Ia membantu perokok berhenti merokok dengan merangsang pelepasan dopamin yang akan mengurangkan ketagihan perokok serta gejala penarikan nikotin atau nicotine withdrawal selepas berhenti merokok. Di samping itu, ia juga berpotensi untuk mengurangkan kesan kepuasan yang dirasai semasa merokok.
Bupropion juga merupakan sejenis pil untuk perokok yang ingin berhenti merokok. Bupropion digunakan semasa gejala penarikan nikotin dan ia berfungsi melalui pengambilan semula dopamin dan noradrenalin yang merupakan penghantar kimia (neurotransmitter) di dalam otak. Hal ini akan mengurangkan kesan sarak nikotin.
Penulisan artikel ini adalah usahasama yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar jurusan perubatan Universiti Malaya Sesi 2018/2023.