Perancangan Penjagaan Lanjutan; Suatu Tindakan Kasih Sayang untuk Keluarga Anda

Apabila kita bercakap tentang “merancang masa depan”, kebanyakan rakyat Malaysia membayangkan simpanan kewangan, insurans atau wasiat. Namun, ada satu lagi perancangan yang sama penting tetapi jarang dibincangkan – Perancangan Awal Penjagaan atau Advance Care Planning (ACP).

Jadi, apa itu ACP?

ACP ialah proses bagi seseorang memikirkan, berbincang dan merekodkan nilai, matlamat serta pilihan rawatan perubatan pada masa hadapan. Ia penting sekiranya seseorang itu tidak lagi mampu membuat keputusan sendiri, agar doktor dan keluarga memahami sesuatu perkara yang paling utama bagi dirinya – sama ada keselesaan, maruah atau jenis rawatan tertentu.

ACP di Malaysia: Di manakah kita sekarang?

Di Malaysia, ACP kini semakin diberikan perhatian. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memasukkan ACP dalam Dasar dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan pada tahun 2019, selaras dengan pendekatan penjagaan yang mengutamakan pesakit dan penghormatan terhadap autonomi seseorang individu.

Namun, mengapa masih ramai yang enggan membincangkannya? Jawapannya terletak pada salah faham dan mitos.


Mitos 1: ACP hanya untuk warga emas atau pesakit tenat.

Hakikat: ACP adalah untuk semua.

Ramai menyangka ACP hanya relevan bagi pesakit kanser tahap akhir atau warga emas yang uzur. Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh berdepan kemalangan jalan raya, strok atau jangkitan serius yang menyebabkan mereka tidak mampu membuat keputusan sendiri. ACP paling berkesan dimulakan ketika seseorang masih sihat dan berfikiran jelas. Kajian komuniti di Malaysia pada 2022 mendapati hanya sebahagian kecil pernah mendengar tentang ACP. Namun, selepas diberi penjelasan, lebih 70 peratus menyatakan mereka mahu mempertimbangkannya untuk diri sendiri.


Mitos 2: ACP bermaksud “tidak mahu dirawat”.

Hakikat: ACP tentang membuat pilihan sendiri.

ACP bukanlah cara untuk menolak rawatan. Ia memberi ruang kepada individu menyatakan dengan jelas kehendak mereka – sama ada mahu dirawat sepenuhnya jika ada peluang sembuh, atau tidak mahu bergantung kepada mesin jika tiada harapan pemulihan. Anda mungkin memilih, “Ya, saya mahu dilakukan resusitasi sekiranya ada peluang untuk pulih,” atau “Tidak, saya tidak mahu bergantung kepada mesin jika tiada harapan untuk sembuh.”

Kajian menunjukkan pesakit yang membuat ACP lebih berkemungkinan menerima rawatan selaras dengan kehendak mereka, dan ahli keluarga pula kurang berdepan tekanan emosi selepas itu.


Mitos 3: Bercakap tentang kematian membawa nasib buruk.

Hakikat: Perbincangan ini mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Dalam norma budaya peradaban di Malaysia, perbincangan tentang kematian sering dianggap tabu, terutamanya dalam budaya yang menghargai keharmonian dan penghormatan kepada orang yang berusia. Ada yang bimbang ia tidak sopan atau seolah-olah “mengundang kepada sesuatu nasib atau perkara yang buruk”.

Sebaliknya, keluarga yang pernah berbincang tentang ACP biasanya lebih tenang apabila berdepan situasi sukar. Mereka tidak perlu meneka atau bertelagah tentang apa yang si ibu atau si ayah mahukan. ACP ini terbukti mengurangkan konflik keluarga serta membantu proses berkabung atau menghadapi kehilangan dengan lebih damai.


Mitos 4: ACP tiada kuasa undang-undang di Malaysia.

Hakikat: Ia tetap menjadi panduan penting membimbing doktor dan keluarga.

Memang benar Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus yang menjadikan ACP mengikat secara sah seperti di beberapa negara lain. Namun, dokumen ACP tetap dianggap penting dari sudut etika dan profesionalisme. Jika hasrat anda didokumenkan dan dimaklumkan kepada keluarga serta pasukan perubatan, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menghormatinya.


Mitos 5: ACP hanya berguna di hospital sahaja.

Hakikat: ACP bermula di rumah, malah di mana-mana sahaja.

Ramai membayangkan ACP hanya dibincangkan di wad hospital. Sebenarnya, ia boleh dimulakan di rumah, di klinik komuniti atau di mana-mana tempat yang memberi ruang untuk refleksi. Apabila krisis berlaku di hospital, mungkin sudah terlambat untuk berbincang. Pesakit mungkin dibius, terlalu lemah atau tidak sedarkan diri. Keluarga pula mungkin tertekan dan sukar membuat keputusan rasional.


Langkah Pertama Bermula Hari Ini

ACP ialah langkah berani mengambil tanggungjawab terhadap masa depan sendiri. Ia bukan sekadar soal rawatan, tetapi tanda kasih kepada keluarga.

Anda boleh mula dengan:

  • Bertanya kepada diri: “Jika saya sakit teruk, apakah yang paling penting bagi saya?”
  • Berbual dengan ahli keluarga secara santai tentang nilai dan pilihan anda.
  • Mendapatkan pandangan doktor yang dipercayai.
  • Mencatatkan hasrat anda, walaupun secara ringkas.

Bayangkan ketenangan yang dirasai keluarga apabila mereka tidak perlu meneka kehendak anda. Bayangkan keyakinan bahawa penjagaan yang diterima benar-benar mencerminkan nilai dan kepercayaan anda.

Mungkin perbualan itu boleh dimulakan dengan ayat mudah ini:

“Jika suatu hari nanti saya tidak mampu bercakap untuk diri sendiri, saya mahu kamu tahu apa yang paling penting bagi saya.”

Satu perbualan kecil hari ini boleh mengubah segalanya pada masa hadapan.

RUJUKAN TAMBAHAN

MAKLUMAT PENULIS

Prathiba Rajasekharan
Calon Sarjana Kesihatan Awam
Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *