Ketahanan Diri Remaja: Kunci Menghadapi Tekanan Zaman Moden

Remaja hari ini berdepan pelbagai tekanan—akademik, digital, sosial dan emosi. Lonjakan kebimbangan, keletihan mental, penggunaan vape dan ketagihan dalam talian bukan lagi luar biasa. Soalnya, adakah kita benar-benar membekalkan mereka dengan sokongan dan kemahiran yang diperlukan, atau sekadar mengharapkan mereka “kuat sendiri”?

Apa Itu Ketahanan Diri?

Ketahanan diri bukan bermakna bersikap kental tanpa emosi. Ia adalah keupayaan untuk menyesuaikan diri dan bangkit semula selepas berdepan cabaran. Remaja yang berdaya tahan lebih cenderung membuat pilihan sihat, mengawal emosi dan pulih daripada tekanan dengan lebih baik.

Kenapa Ketahanan Diri Penting?

Fasa remaja ialah masa kritikal pembentukan identiti dan perkembangan otak. Tanpa ketahanan diri, kegagalan kecil boleh menyebabkan kebimbangan berpanjangan, kehilangan motivasi atau tingkah laku merosakkan. Ketahanan bertindak sebagai pelindung—membantu remaja mengurus stres secara sihat. Namun, tekanan berterusan tanpa sokongan boleh menghakis daya tahan ini. Justeru, pendidikan awal dan sokongan berterusan sangat penting.

Bagaimana Membentuk Ketahanan Diri?

Ketahanan diri bukan ciri semula jadi, tetapi kemahiran yang boleh dipelajari. Kajian menunjukkan tiga faktor utama:

  • Hubungan sokongan
    Seorang dewasa yang prihatin—ibu bapa, guru, atau mentor—boleh menjadi tonggak kestabilan emosi.
  • Sokongan rakan sebaya
    Rakan yang empati dan menyokong membantu membina keyakinan dan kestabilan emosi.
  • Persekitaran yang selamat dan responsif
    Sekolah dan komuniti yang selamat, dan akses kepada program belia membantu remaja membina daya tahan. Namun, masalah ketidaksamaan masih menjadi cabaran perlu ditangani secara adil seperti sesetengah remaja yang terpinggir daripada pendidikan dan sokongan, mempunyai keluarga berpendapatan rendah, dan kurang ilmu pendedahan untuk mendapatkan bantuan.

Ketahanan perlu dibina, kerana ianya bukan diwarisi. Antara pendekatan berkesan:

  1. Ajarkan kemahiran hidup di sekolah – termasuk latihan pengurusan tekanan dan penyelesaian masalah.
  2. Perkasakan aktiviti rakan sebaya – beri peluang kepada remaja memimpin dan mempengaruhi budaya berkumpulan secara positif.
  3. Libatkan keluarga dan komuniti – kekuatan sebenar lahir daripada sokongan dan teladan yang berterusan, bukannya usaha bersendirian.

Kita sering menggalakkan remaja untuk “jadi kuat”, tapi kekuatan tanpa sokongan hanya mendorong penderitaan dalam diam. Ketahanan sebenar ialah menyediakan pendedahan dan peluang untuk mereka terus maju. Inilah langkah terbaik bagi membina generasi pemikir kritikal, pemimpin beremosi cerdas, dan warga yang bersedia membentuk masa depan Malaysia yang lebih sihat, cemerlang, dan sejahtera.

✍ Artikel ini ditulis oleh Dr Siti Idayu Hasan dari Unit Kesihatan Keluarga, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.