Batuk Haji: 7 Langkah Menjaga Kesihatan Saluran Pernafasan

Menunaikan ibadah haji merupakan impian setiap Muslim yang berkemampuan. Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci Makkah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima. Namun, di sebalik kemuliaan ibadah ini, haji turut membawa cabaran kesihatan yang tersendiri. Antara masalah kesihatan yang paling kerap dialami oleh jemaah ialah gejala saluran pernafasan, terutamanya batuk, yang lazimnya berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan. Keadaan ini menyebabkan wujudnya istilah yang tidak asing lagi dalam kalangan jemaah, iaitu “batuk haji”. Walaupun istilah “batuk haji” sering digunakan, gejala yang dialami sebenarnya boleh berpunca daripada pelbagai jenis jangkitan saluran pernafasan atau iritasi akibat faktor persekitaran seperti cuaca panas, udara kering dan habuk.

Kajian menunjukkan bahawa jangkitan saluran pernafasan merupakan antara masalah kesihatan yang sering dialami oleh jemaah haji. Sepanjang musim haji berjuta-juta jemaah berkumpul di kawasan yang sama, berkongsi ruang ibadah, penginapan dan pengangkutan, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran virus dan bakteria penyebab jangkitan. Selain kesesakan, beberapa faktor lain turut menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit saluran pernafasan. Antaranya ialah keletihan fizikal, kurang tidur, cuaca yang panas dan kering, pendedahan kepada habuk, dehidrasi serta perubahan suhu apabila berulang-alik antara kawasan terbuka dan bangunan berhawa dingin.

Walaupun risiko mendapat jangkitan saluran pernafasan semasa haji tidak dapat dielakkan sepenuhnya, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko tersebut. Langkah-langkah ini mungkin kelihatan mudah, namun apabila diamalkan secara konsisten, ia bukan sahaja membantu melindungi kesihatan diri sendiri, malah mengurangkan risiko penularan penyakit kepada jemaah lain.

Pakai pelitup muka apabila berada di kawasan yang sesak

    Musim haji menyaksikan jutaan jemaah berhimpun di ruang yang sama, sama ada ketika tawaf, saie, melontar jamrah, menaiki bas atau menunggu giliran memasuki sesuatu kawasan. Dalam keadaan sebegini, risiko penularan jangkitan saluran pernafasan adalah lebih tinggi kerana jemaah berada dalam jarak yang sangat dekat antara satu sama lain. Oleh itu, pemakaian pelitup muka adalah digalakkan apabila berada di kawasan yang sesak, terutamanya jika terdapat ramai individu yang mengalami batuk atau selesema. Bagi jemaah wanita, pemakaian pelitup muka yang menyentuh wajah semasa masih dalam keadaan ihram adalah tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan tertentu mengikut hukum fiqh. Namun, sebaik sahaja larangan ihram berakhir, penggunaan pelitup muka wajar disambung semula apabila berada di tempat yang sesak. Pemakaian pelitup muka bukan sahaja membantu melindungi diri sendiri, malah merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial kerana dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada jemaah lain.

    Jadikan kebersihan tangan sebagai amalan

    Sepanjang berada di Tanah Suci, kita menyentuh pelbagai permukaan yang turut digunakan oleh ribuan jemaah lain, seperti pemegang pintu, butang lif dan pemegang eskalator. Dalam keadaan yang sesak dan pergerakan yang berterusan, amalan membersihkan tangan masih kurang diberi perhatian, terutamanya selepas batuk, bersin atau menghembus hidung. Hakikatnya, mencuci tangan menggunakan sabun atau membersihkan tangan dengan pensanitasi tangan berasaskan alkohol merupakan antara langkah paling mudah dan berkesan untuk mengurangkan penularan penyakit. Oleh itu, biasakan membersihkan tangan sebelum makan, selepas menggunakan tandas serta selepas batuk atau bersin. Amalan mudah ini bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah membantu mengurangkan risiko penyebaran penyakit kepada jemaah lain.

    Kurangkan pendedahan kepada habuk dan asap

    Selain kesesakan, faktor persekitaran seperti habuk dan asap juga boleh menjejaskan kesihatan saluran pernafasan. Keadaan ini sering berlaku di kawasan yang mempunyai pergerakan kenderaan yang tinggi, contohnya ketika mabit di Muzdalifah. Pergerakan bas yang berterusan, jutaan jemaah yang berjalan kaki serta keadaan tanah yang berdebu menyebabkan habuk mudah berterbangan di udara. Pendedahan kepada habuk dan asap ekzos boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi kering dan mengalami iritasi, sekali gus mencetuskan atau memburukkan gejala seperti batuk dan sakit tekak, terutama dalam kalangan individu yang sensitif atau mempunyai penyakit saluran pernafasan. Sekiranya mempunyai pilihan, pilihlah tempat untuk berehat yang agak jauh daripada laluan kenderaan atau kawasan yang berdebu. Langkah mudah ini dapat membantu mengurangkan pendedahan kepada habuk dan asap, sekali gus mengurangkan ketidakselesaan pada saluran pernafasan.

    Minum air secukupnya walaupun tidak berasa dahaga

    Sesetengah jemaah mungkin mengehadkan pengambilan air bagi mengurangkan kekerapan ke tandas atau kerana bimbang perlu memperbaharui wuduk sebelum menunaikan solat. Walaupun keadaan ini boleh difahami, pengambilan air yang tidak mencukupi boleh meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan dan iritasi tekak. Keadaan ini juga boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi lebih mudah terjejas. Oleh itu, jemaah disarankan untuk minum air dalam kuantiti yang sedikit tetapi secara kerap sepanjang hari. Mengambil beberapa teguk air setiap 20 hingga 30 minit adalah lebih baik daripada menunggu sehingga terasa dahaga. Pengambilan air yang mencukupi membantu mengekalkan kelembapan saluran pernafasan, menyokong fungsi normal sistem imun dan memastikan tubuh kekal cergas sepanjang menunaikan ibadah.

    Rehat yang mencukupi membantu kelancaran ibadah

    Ramai jemaah berusaha menunaikan kelima-lima solat fardu di Masjidil Haram setiap hari. Tidak kurang juga yang memperbanyakkan tawaf sunat, membaca al-Quran dan melakukan pelbagai ibadah lain sehingga waktu untuk berehat menjadi sangat terhad. Semangat untuk memperbanyakkan ibadah ini sememangnya amat terpuji. Namun, tubuh juga memerlukan rehat yang mencukupi bagi mengekalkan kesihatan dan tenaga sepanjang menunaikan ibadah haji. Kurang tidur dan keletihan yang berpanjangan boleh melemahkan sistem imun, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan saluran pernafasan dan menjejaskan keupayaan tubuh untuk pulih apabila sakit. Oleh itu, luangkan masa untuk berehat di antara aktiviti ibadah, dapatkan tidur yang mencukupi dan pastikan pengambilan makanan yang berkhasiat. Rehat yang mencukupi bukan bermaksud mengurangkan ibadah, sebaliknya merupakan satu ikhtiar untuk memastikan tubuh kekal sihat agar ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih selesa, khusyuk dan sempurna.

    Jangan berlengah mendapatkan rawatan

    Semangat untuk meneruskan ibadah walaupun kurang sihat merupakan sesuatu yang lazim dalam kalangan jemaah haji. Namun, jika batuk semakin teruk, disertai demam, sesak nafas, kahak yang banyak atau gejala berlarutan tanpa menunjukkan tanda-tanda pemulihan, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. Rawatan awal bukan sahaja membantu mempercepatkan proses pemulihan, malah dapat mengurangkan risiko komplikasi serta membolehkan jemaah meneruskan ibadah dengan lebih selesa dan selamat. Jemaah haji Malaysia mendapat sokongan daripada pasukan perubatan Tabung Haji yang ditempatkan di Makkah dan kawasan masya’ir sepanjang musim haji. Jangan teragak-agak untuk memanfaatkan kemudahan ini sekiranya diperlukan. Mendapatkan rawatan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya merupakan satu bentuk ikhtiar untuk memelihara kesihatan agar ibadah dapat diteruskan dengan sebaik-baiknya.

    Lengkapkan vaksin sebelum berangkat ke Tanah Suci

    Sebelum berangkat, pastikan semua vaksin yang diwajibkan dan disyorkan telah diambil mengikut garis panduan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Selain vaksin meningococcal yang diwajibkan, vaksin influenza, pneumokokal dan COVID-19 juga digalakkan, khususnya bagi warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik dan mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi. Walaupun vaksin tidak dapat mencegah semua jangkitan, ia terbukti dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit yang lebih serius, komplikasi dan kemasukan ke hospital.

    Jangkitan saluran pernafasan merupakan antara cabaran kesihatan yang paling lazim dihadapi semasa musim haji. Batuk pula merupakan gejala yang paling kerap dialami oleh jemaah. Walaupun risikonya tidak dapat dielakkan sepenuhnya, langkah-langkah pencegahan yang mudah dan konsisten mampu mengurangkan risiko jangkitan. Menjaga kesihatan merupakan satu bentuk ikhtiar untuk memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih selesa, selamat dan khusyuk. Semoga semua bakal jemaah haji dikurniakan kesihatan yang baik dan memperoleh haji yang mabrur.

    Dr Nik Daliana Nik Farid
    Profesor Madya dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam
    Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

    Leave a comment

    Your email address will not be published. Required fields are marked *