Kesihatan Remaja: Melabur Untuk Masa Depan Yang Sihat

Zaman remaja merupakan fasa penting dalam kehidupan seseorang. Pada fasa ini, remaja mengalami perubahan fizikal, emosi dan sosial yang ketara apabila mereka melalui proses akil baligh. Tabiat kesihatan yang dibentuk ketika remaja seperti pemakanan sihat, aktiviti fizikal, pengurusan stres dan tingkah laku berisiko seperti merokok, penggunaan dadah dan tingkahlaku seks berisiko akan memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dewasa.

Oleh itu, meningkatkan literasi kesihatan remaja amat penting. Literasi kesihatan merujuk kepada keupayaan remaja untuk mendapatkan, memahami dan menggunakan maklumat kesihatan bagi membuat keputusan yang tepat. Remaja yang mempunyai literasi kesihatan yang baik lebih cenderung menjaga kesihatan diri, mengenal pasti tanda masalah kesihatan awal (contohnya gejala kemurungan) dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Ramai remaja berdepan cabaran seperti tekanan akademik, isu imej badan, penggunaan media digital berlebihan, serta risiko tingkah laku kesihatan seperti pemakanan tidak seimbang atau pendedahan kepada penyakit berjangkit. Namun, tidak semua remaja tahu ke mana harus mendapatkan bantuan. Menggalakkan tingkah laku mendapatkan bantuan bermaksud seseorang remaja itu:

  • Berani bertanya dan berkongsi masalah kesihatan dengan petugas kesihatan, pakar kesihatan dan individu yang lebih dewasa serta boleh dipercayai
  • Mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih
  • Mendekati guru, ahli keluarga termasuk ibu bapa, kaunselor atau petugas kesihatan untuk berkongsi masalah
  • Menggunakan perkhidmatan kesihatan remaja yang tersedia di klinik atau hospital kerajaan dan swasta
  • Mendekati rakan-rakan yang telah dilantik sebagai pembimbing rakan sebaya untuk mendapatkan maklumat dan sokongan

Mewujudkan persekitaran yang menyokong dan tidak menghakimi adalah kunci untuk memastikan remaja berasa selamat mendapatkan bantuan. Ini adalah kerana ia membantu remaja berasa selamat untuk berkongsi masalah, membina kepercayaan terhadap orang dewasa dan perkhidmatan kesihatan, serta menggalakkan mereka mendapatkan bantuan secara berterusan tanpa rasa takut atau stigma.

Salah satu perkhidmatan kesihatan yang disediakan untuk remaja di Malaysia ialah Perkhidmatan Kesihatan Mesra Remaja di Klinik Kementerian Kesihatan Malaysia yang terpilih di seluruh negara. Perkhidmatan ini direka khusus untuk memenuhi keperluan remaja dalam suasana yang selamat, sulit dan menyokong. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk:

  • Saringan kesihatan fizikal (contohnya tekanan darah dan status pemakanan)
  • Pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif
  • Sokongan kesihatan mental dan kaunseling
  • Nasihat pemakanan dan gaya hidup sihat
  • Maklumat pencegahan penyakit seperti HIV/AIDS
  • Bimbingan berkaitan penggunaan teknologi dan kesejahteraan digital

Remaja boleh mendapatkan perkhidmatan ini secara percuma atau pada kos minimum di klinik kesihatan berhampiran.

Program promosi kesihatan remaja di sekolah

Sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan literasi kesihatan remaja, satu program promosi kesihatan telah dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama (SMKSU) pada 10 Jun 2025. Program ini melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, calon Sarjana Kesihatan Awam (MPH) yang mengambil kursus Promosi Kesihatan, pelajar dan guru-guru SMKSU serta INSAF Murni.

Pelbagai reruai interaktif telah disediakan, antaranya:

  • Pencegahan HIV/AIDS
  • Penilaian ukuran badan dan status pemakanan
  • Kesedaran ketagihan digital
  • Pemeriksaan tekanan darah
  • Pendidikan berhenti merokok
  • Pendidikan pemakanan dan diet sihat
  • Pendidikan kesihatan penyakit tidak berjangkit, seperti kencing manis dan penyakit buah pinggang

Selain itu, sesi ceramah turut dijalankan yang memfokuskan kepada kesihatan mental remaja dan pengurusan masa skrin, dua isu yang semakin penting dalam kehidupan remaja masa kini. Video program ini boleh ditonton melalui pautan yang disediakan bersama penulisan ini.

Peranan semua pihak

Kesihatan remaja bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi memerlukan penglibatan keluarga, sekolah, komuniti dan sistem kesihatan. Memberi ruang kepada remaja untuk belajar, bertanya dan mendapatkan sokongan akan membantu mereka membina asas kesihatan yang kukuh. Dengan meningkatkan literasi kesihatan dan mempromosikan perkhidmatan mesra remaja, kita dapat membantu generasi muda membuat pilihan yang lebih sihat demi masa hadapan mereka.

MAKLUMAT PENULIS

Profesor Madya Dr Nik Daliana Nik Farid
Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *