‘Tabiat merokok merupakan satu tabiat buruk dan ini adalah disebabkan oleh keengganan seseorang individu untuk berhenti tabiat tersebut’, begitulah diuar-uarkan oleh masyarakat, baik di dewan parlimen mahupun di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. Akan tetapi, adakah sukar untuk kita buang tabiat merokok ini? Jawapannya, YA!
Hakikatnya, memang sukar untuk berhenti merokok kerana penangan dan tarikan nikotin menimbulkan rasa ketagihan. Nikotin merupakan suatu bahan yang membahayakan otak dengan merangsang laluan saraf dan hormon dopamine, sejenis penghantar kimia (neurotransmitter) yang memberi isyarat kepada tubuh badan kita untuk menikmati keseronokan, kegembiraan, dan ketagihan terhadap sesuatu seperti nikmat rasa makanan, ransangan seksual, dan lain-lain.
Ia juga meningkatkan aktiviti dalam laluan saraf cholinergic dalam otak. Laluan ini berpusat dalam stem otak dan dipercayai berfungsi sebagai pencetus bagi fungsi kognitif, seperti ingatan. Pertambahan dalam laluan ini membuatkan anda merasa lebih tajam dan fokus. Begitupun parasnya tidak cukup, nikotin juga meningkatkan paras endorphin, sejenis protein atau hormon yang berperanan menghilangkan atau meredakan rasa sakit dalam sistem tubuh badan, menyebabkan seseorang itu sentiasa berasa seolah-oleh khayal dan tenang.
Secara semulajadi, paras nikotin dalam sebatang rokok sudah cukup membuatkan perokok berasa ketagih untuk merokok. Namun, syarikat-syarikat rokok meningkatkan tahap ketagihannya dengan menambah campuran gula pada nikotin. Apabila campuran ini dibakar, ia menghasilkan kimia yang dipanggil acetaldehyde yang meningkatkan lagi kesan ketagihan nikotin, dan boleh menyebabkan kerosakan pada mana-mana sistem tubuh badan secara tidak langsung kerana ia mewujudkan kebergantungan seseorang itu untuk terus merokok. Ini menyebabkan perokok lebih berisiko terdedah secara langsung dengan bahan toksik melalui asap tembakau.
Tambahan pula tanpa nikotin, perokok akan mengalami sindrom sarak nikotin, atau gejala penarikan nikotin (nicotine withdrawal). Perkara ini membuatkan seseorang perokok sentiasa mengidam untuk merokok seterusnya mengalami kesukaran untuk meninggalkan tabiat buruk ini.
Kesan simptom sarak ini bukanlah ringan dan mudah ditangani. Ramai yang kembali kepada rokok kerana tidak tahan dengan keadaan ini. Dalam tempoh beberapa minggu hingga ke beberapa bulan, tubuh perokok mungkin akan berasa tidak selesa, sukar menumpukan perhatian, rasa gelisah, dan keinginan untuk merokok membuak-buak sepanjang masa.
Selain itu juga ia menyebabkan emosi perokok tidak stabil, mudah marah, dan sebagainya. Sepanjang tempoh ini, sokongan orang sekeliling terutamanya yang keluarga dan rakan-rakan adalah amat penting. Mengetahui kepentingan sokongan moral ini juga boleh membantu perokok mengatasi masalah ketagihan dengan lebih baik.
Namun begitu, berita baiknya adalah keinginan untuk berhenti merokok sebenarnya boleh dilakukan dan ianya tidak mustahil. Terdapat beberapa kaedah dan ubat yang boleh digunakan, salah satunya adalah terapi gantian nikotin yang boleh membantu perokok untuk menghentikan tabiat merokok. Terapi gantian nikotin ini juga telah terbukti dapat meningkatkan kadar berhenti merokok sebanyak 70 peratus.
Rakan sebaya dan ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam membantu perokok untuk berhenti merokok terutamanya semasa seseorang perokok itu mengalami sindrom sarak nikotin. Galakan, dorongan serta sokongan moral adalah amat penting kepada seseorang individu yang ingin bebas daripada rokok. Perokok juga digalakkan untuk menyatakan niat dan hasrat mereka untuk berhenti merokok kepada ahli keluarga ataupun rakan sebaya sebelum cuba berhenti merokok. Sokongan moral dan galakan ini dapat meningkatkan semangat dan daya tahan kepada mereka untuk terus berada di atas landasan yang betul untuk meninggalkan tabiat merokok.
Penulisan artikel ini adalah usahasama yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar jurusan perubatan Universiti Malaya Sesi 2018/2023.