Diabetes: Wabak Senyap yang Menguji Ketahanan Emosi

Diabetes kini menjadi krisis kesihatan awam—menjejaskan satu daripada enam rakyat Malaysia. Kosnya bukan sekadar perubatan, tetapi juga kehilangan produktiviti dan tekanan emosi yang sering tersembunyi. Dalam pada fokus kita kepada kawalan gula, satu aspek penting sering terlepas pandang: tekanan diabetes (diabetes distress), iaitu tekanan emosi dan mentalakibat beban mengurus penyakit ini setiap hari.

Tekanan Diabetes: Beban Tidak Kelihatan

Tekanan diabetes merujuk kepada beban emosi dan psikologi yang dialami akibat cabaran harian dalam menguruskan penyakit ini. Ia menjadi lebih buruk disebabkan oleh ketakutan terhadap komplikasi, kurang kefahaman dan sokongan daripada orang sekeliling, dan juga beban kewangan yang tinggi.

Diabetes menyumbang hampir 72% kematian awal usia sebelum tua akibat penyakit tidak berjangkit di Malaysia. Namun dalam tumpuan kepada rawatan perubatan, bacaan gula dan ubat-ubatan, kita sering terlepas pandang beban lain yang berterusan seperti tekanan, stigma dan pengasingan sosial yang boleh menjejaskan pematuhan rawatan dan kualiti hidup kita.

Kenali Tanda-Tanda

  • Kebimbangan berterusan
  • Rasa kecewa dan bersalah
  • Hilang motivasi untuk menjaga diri
  • Rasa terasing atau kurang sokongan

Dari segi tingkah laku, ia boleh menyebabkan individu tercicir ubat, tidak mematuhi diet, tidak hadir ke temu janji perubatan dan akhirnya mengalami keletihan diabetes (diabetes burnout), iaitu keadaan di mana individu mula berputus asa untuk menguruskan penyakitnya.

Apa Yang Boleh Kita Lakukan?

Sokongan moral dan sosial boleh meringankan beban ini. Antara langkah mudah yang boleh dilakukan:

  • Dengar tanpa menghakimi
    Tanya dan dengar, bukan terus beri nasihat.
  • Hargai perasaan mereka
    Memahami situasi yang mereka hadapi, bantu meringankan beban mereka.
  • Sokongan dan dorongan
    Bantu mereka capai matlamat yang mudah dalam mengurus keadaan diri dan penyakit seperti kurangkan makanan bergula, atau patuh makan ubat setiap hari.
  • Temani ke temu janji
    Hadir sebagai peneman untuk beri sokongan moral.
  • Galakkan hubungan sosial
    Cadang sertai kumpulan sokongan atau komuniti, bertujuan untuk dapatkan pendapat dan perkongsian pengalaman yang serupa.
  • Rancang aktiviti mesra diabetes
    Sediakan pilihan makanan yang sesuai, galakkan penglibatan aktiviti yang dapat membina emosi dan mental yang positif.
  • Bantu dari segi kewangan
    Tunjukkan jalan mendapatkan perkhidmatan atau bantuan kewangan yang ada.
  • Raikan kejayaan kecil
    Hargai pencapaian dan kejayaan harian mereka. Ini dapat membina keyakinan dan kesungguhan mereka dalam mengharungi cabaran.

Pendekatan Lebih Menyeluruh

Tekanan diabetes merupakan suatu situasi yang berubah-ubah, bergantung kepada rawatan, persekitaran dan sokongan yang diterima. Sudah tiba masanya Malaysia melihat aspek penyakit diabetes secara menyeluruh—bukan sekadar penyakit fizikal, tetapi cabaran emosi serta mental yang memerlukan pendekatan yang lebih manusiawi dan bersepadu.

✍ Artikel ini ditulis oleh Dr Lydia Ann Ganapathi, Calon Doktor Kesihatan Awam (DrPH) dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Rujukan

  1. Ministry of Health Malaysia. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023. Putrajaya: Institute for Public Health, Ministry of Health Malaysia; 2023.
  2. American Diabetes Association. Diabetes and Mental Health Workbook, Chapter 3. American Diabetes Association; 2023.
  3. Speight J, Hendrieckx C, Pouwer F, Skinner TC, Browne JL. Diabetes MILES-2 Study: Diabetes Management and Impact for Long-term Empowerment and Success. Melbourne: Diabetes Australia; 2016.
  4. Ministry of Health Malaysia. Kenyataan Media: Beban Ekonomi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Putrajaya: Ministry of Health Malaysia; 2024 Nov 5.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *